JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan sumbu badak yang dianggarkan bernilai RM30 juta dengan penahanan dua suspek di Bulatan Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang minggu lalu.
Tangkapan dibuat melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Tengah pada 9 September lalu membabitkan suspek warga tempatan.
Perhilitan dalam satu kenyataan hari ini , memaklumkan hasil pemeriksaan terhadap suspek berkenaan telah menemui 50 unit disyaki sumbu badak dan turut dirampas sebuah lori serta dokumen berkaitan.
“Operasi ini dijalankan anggota Jabatan Perhilitan hasil aktiviti risikan secara berterusan oleh Unit Khas. Berdasarkan rekod kejayaan kali ini adalah yang terbesar dalam tempoh lima tahun bagi sitaan sumbu badak.
“Spesies badak serta bahagian ya adalah dilindungi dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020,” menurut kenyataan itu.

Menurut Perhilitan, badak juga disenaraikan dalam Apendiks Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam di mana spesies ini tidak boleh didagangkan sama ada import atau dieksport bagi tujuan komersial.
“Kes cubaan menyeludup sumbu badak sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah serius serta berprofil tinggi.
“Terdapat lima kes berkaitan dengan penyeludupan membabitkan 96 unit sumbu badak telah direkodkan Jabatan Perhilitan dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Perhilitan memaklumkan, kesemua 50 unit disyaki sumbu badak yang dirampas berkenaan akan menjalani analisis deoxyribonucleic acid (DNA) di Makmal Forensik Jabatan Perhilitan bagi mengenalpasti spesies badak tempatan atau luar negara.
“Walau bagaimanapun setakat ini sumbu badak berkenaan disyaki di seludup dari luar negara.
“Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Jabatan Perhilitan turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar menghentikan aktiviti pemburuan haram dan jenayah hidupan liar atau berdepan tindakan undang-undang yang tegas.
“Jabatan Perhilitan menyeru keperihatinan dan kerjasama agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah hidupan liar dalam usaha melindungi khazanah biodiversiti agar tidak terancam kepupusan.
“Maklumat boleh disalurkan ke talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman sesawang www.wildlife.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

