Orang ramai diingatkan lapor ujian Covid-19 di MySejahtera

0
2
Kit ujian kendiri Covid-19 dinamakan Salixium Covid-19 Rapid Antigen Rapid Test (Saliva/Nasal Swab Samples) yang dibuat Reszon Diagnostic International Sdn Bhd Malaysia dan Gmate Covid-19 Ag Saliva For Home Use oleh Philosys Co Ltd, Korea dijual di sebuah farmasi Selayang ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

INDIVIDU yang bergejala atau berisiko tinggi terutamanya kontak rapat diingatkan agar segera menjalankan ujian saringan Covid-19 dan melaporkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata saringan Covid-19 itu boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) atau hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan yang berdekatan.

Menurutnya, pengesanan awal kes Covid-19 menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) boleh membantu pemantauan kesihatan dan menilai risiko kendiri bagi mendapatkan rawatan kesihatan sekali gus mengurangkan kes kematian luar hospital (BID).

“Selain itu, kit ujian RTK-Ag adalah mudah dan pantas dijalankan di samping mempercepatkan kes positif dikenal pasti dan seterusnya diasingkan supaya risiko penyebaran kepada individu lain terutamanya golongan rentan dapat dikurangkan.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk menggunakan kit ujian RTK-Ag yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan keputusan yang sah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setiap individu wajib melaporkan hasil keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera sama ada keputusan positif, negatif, mahupun tidak sah bagi membolehkan tindakan susulan diambil oleh KKM.

“Kerajaan telah mewajibkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula esok untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

“Langkah ini adalah untuk memastikan supaya Pulau Langkawi menjadi destinasi pelancongan yang selamat kepada semua pelancong dari dalam mahupun luar negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan ujian dan kadar positif bagi keseluruhan ujian SARS-CoV-2 iaitu PCR, RTK-Ag (profesional) dan RTK-Ag (kendiri) menunjukkan peningkatan.

“Mengikut Minggu Epidemiologi (ME) telah menunjukkan peningkatan berterusan dan memberangsangkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Perkembangan ini lebih ketara dilihat sehingga 13 September 2021 apabila sebanyak 758,919 ujian RTK-Ag (kendiri) telah dijalankan yang mana, 107,421 (14.5 peratus) telah dikesan positif Covid-19,” katanya.

Menurutnya, semua keputusan ujian Covid-19 adalah amat penting untuk dilaporkan kepada KKM kerana ia akan mempengaruhi kadar positif jangkitan Covid-19 negara yang dilaporkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here