Persetujuan PH tandatangan MoU bersyarat – Guan Eng

0
2

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) hanya bersetuju menjadi pihak berkecuali jika ada usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga berkata, persetujuan tersebut disusuli dengan beberapa syarat, kerana tanpa syarat tersebut PH tidak akan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan kerajaan pada Isnin lalu.

“Saya ingin tegaskan di sini, persetujuan pembangkang untuk MOU dengan kerajaan dua hari lalu adalah bersyarat. Jika kerajaan melanggar syarat ini, secara automatik persetujuan MOU itu terbatal.

“Dalam Belanjawan 2022 ini, kerajaan mesti adakan perbincangan dengan PH. Kita akan berikan input-input tertentu untuk dipertimbangkan.

“Kalau kerajaan ikut syarat ini dan terima input dari kami, maka kita (PH) bersedia untuk berkecuali dalam usul undi percaya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam perbahasan menjunjung kasih titah tuanku Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Tegas Guan Eng, PH ikhlas dan jujur apabila mahu bersama kerajaan dalam MoU tersebut kerana mahu tumpuan diberikan sepenuhnya untuk memerangi Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurutnya, apa yang rakyat mahukan adalah usaha atau pendekatan dilakukan kerajaan untuk menangani Covid-19 dan memperbaiki kemelesetan ekonomi, menerusi tawaran serta tambahan input dari blok pembangkang.

Dalam masa sama, Guan Eng menegaskan kemelut politik yang melanda kini adalah berpunca daripada Langkah Sheraton dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac tahun lalu.

“Saya tegaskan, masalah ketidakstabilan politik berpunca daripada Langkah Sheraton tahun lepas.

“Masalah lompat melompat parti ini menyebabkan ia menjadi sesuatu yang boleh digunakan sebagai senjata untuk mengugut kerajaan sekiranya tidak menurut atau mematuhi hasrat mereka.

“Begitu juga kita lihat apabila Muhyiddin hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen yang berpunca daripada faktor permainan nombor,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu, Ismail Sabri mungkin akan menjadi mangsa permainan politik sesetengah pihak jika tidak memenuhi kehendak mereka.

Guan Eng juga percaya Ismail Sabri turut akan menjadi mangsa dalam permainan politik dalaman sekiranya beliau tidak memenuhi kehendak mereka yang cuba mensabotaj kerajaannya sendiri.

Disebabkan itu, katanya, Ahli Parlimen Bera itu membuat tawaran kepada pembangkang supaya perkara itu tidak berulang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here