KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyumbang pelitup muka kepada 88,787 pelajar Tingkatan 6 di seluruh negara yang akan memulakan seisi persekolahan pada 3 Oktober ini.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sumbangan bernilai RM200,000 itu akan disalurkan menerusi Tenaga Nasional Berhad.
Katanya, ini bagi menyahut seruan kerajaan agar pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuat secara bersepadu.
“Maka tumpuan sumbangan disasarkan kepada pelajar daripada golongan B40 dan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang berteraskan konsep Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga daripada golongan B40 dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
“Kerjasama para guru dan pengurusan sekolah sangat diharapkan agar dapat memantau dan memastikan semua pelajar sentiasa mematuhi SOP sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan kesihatan pelajar terpelihara. -Malaysiapost

