VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata tindakan dua calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat mengeluarkan ‘manifesto’ masing-masing adalah perkara luar biasa.
Beliau berkata, perkara itu agak janggal kerana ia seolah-olah memperlihatkan bahawa jawatan Timbalan Speaker itu memerlukan kepada janji yang bakal ditunai.
Katanya, sedangkan umum mengetahui bahawa jawatan timbalan speaker hanyalah untuk membantu Speaker mempengerusikan sidang Dewan Rakyat dan ia bukan jawatan eksekutif dengan kuasa untuk melaksanakan sesuatu.
“Kerajaan mencadangkan Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agung Umno. PH mencalonkan pula Nga Kor Ming, bekas Timbalan Speaker semasa PH kerajaan, untuk jawatan yang sama.
“Apa yang luar biasa ialah kedua-dua calon mengeluarkan ‘manifesto’ masing-masing seolah jawatan timbalan speaker itu memerlukan kepada janji yang bakal ditunai,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Shahrir berkata, Kor Ming mengisytiharkan lima perkara untuk menarik sokongan sementara Ahmad pula meningkatkan tawarannya atau ‘up the ante’ kepada 20 janji.
“Dua-dua berkempen untuk satu jawatan. Ahmad Maslan dalam ‘manifesto 20 janji’nya ada cadangkan jawatan timbalan speaker ke-tiga dan diisi oleh seorang ahli parlimen dari Sabah atau Sarawak.
“Beberapa jam sebelum pemilihan jawatan timbalan speaker berlangsung, menteri yang jaga Parlimen umumkan penangguhan pemilihan.
“Atas sebab hendak diujudkan jawatan timbalan speaker yang ketiga. Tapi untuk pembangkang. Perlu kepada pindaan Perlembagaan juga,” katanya.
Justeru, Shahrir menegaskan sekiranya hendak diwujudkan jawatan ketiga, Kor Ming sepatutnya menarik diri dan jawatan kedua itu diberi kepada Ahmad tanpa bertanding.
“Tapi tidak. Tangguh dulu sampai betul-betul ujudkan jawatan ke-tiga khusus untuk calon pembangkang.
“Nampak saya, PH tidak percaya akan benar-benar ujud jawatan ke-tiga itu kalau dilepaskan (kepada) Ahmad Maslan begitu sahaja. PH tidak mahu setuju walaupun MoU baru sehari ditandatangani,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrir berkata, Ahmad kini terperangkap kerana ‘terlebih’ bercakap dan berjanji menyebabkan pihak lain yang mendapat untung.
“DAP tetap mahukan pemilihan atau ditangguhkan sehingga Perlembagaan dipinda.
“Datuk Ahmad Maslan, orang yang cadangkan jawatan timbalan speaker ke-tiga khas untuk ahli parlimen dari Sabah/Sarawak, sekarang melihat jawatan itu pula dikhaskan untuk ahli pembangkang.
“Terperangkap sendiri kerana lebih bercakap dan berjanji. Orang lain yang dapat untung. Itu pun tidak menjamin jawatan itu untuknya. Walaupun dicadangkan oleh PM sendiri,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Dewan Rakyat bersetuju menangguhkan usul pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada pindaan Perlembagaan untuk menambah jumlah jawatan itu kepada tiga berbanding dua ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul.
Beliau berkata, perbincangan telah dilakukan bersama Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun agar pindaan tersebut dibawa pada penghubung sesi sidang Parlimen kali ini. – Malaysiapost

