Ketidakpercayaan, prejudis antara wakil rakyat cabaran laksana MoU

0
2

PELAKSANAAN memorandum persefahaman (MoU) Kerajaan-PH berdepan cabaran kerana dibayangi krisis ketidakpercayaan dan prejudis sesama wakil rakyat susulan isu lompat parti dan pengkhianatan.

Justeru, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata usaha penggubalan rang undang-undang anti lompat parti harus menjadi keutamaan.

Katanya, selain itu kedua-dua pihak harus memfokuskan aspek-aspek pemerkasaan pelan menangani pandemik, transformasi pentadbiran dan pembaharuan Parlimen yang lain.

“Cabaran dan risiko utama MOU ini adalah pelaksanaannya masih dibayangi oleh ketidakpercayaan dan prejudis sesama Wakil Rakyat dek sebab isu Lompat Parti dan pengkhianatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong yang mengalu-alukan kerjasama rentas parti melalui permeteraian MoU Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

“Bagi Pemuda Umno, MOU ini adalah satu inisiatif yang harus diberikan ruang dan peluang sebaiknya agar satu budaya politik baharu yang segar.

“Di samping ‘kestabilan politik’ dapat diwujudkan bagi membolehkan usaha pemulihan negara yang masih bergelut soal ekonomi dan kebajikan rakyat Pandemik Covid-19 dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, bagi memastikan MoU ini berjaya, jiwa besar setiap barisan pimpinan politik bakal menjadi kunci utama sebarang natijah positif yang diharapkan.

“Disamping itu juga, Pemuda Umno tetap berharap pelaksanaan Undi18 yang bersekali dengan pendaftaran automatik dapat disegerakan agar hak 5.6 juta (1.2 juta bakal pengundi 18 tahun dan 4.4 juta bakal pengundi 21 tahun ke atas yang belum berdaftar) tidak dinafikan menjelang PRU-15 akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno juga berharap MoU berkenaan tidak akan menghakis peranan dan semangat semak-imbang Parlimen sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pemuda Umno akan tetap meneruskan peranan selaku penyambung lidah dan jurubicara rakyat dan akan terus memantau pelaksanaan MOU ini agar kesannya benar-benar positif kepada kehidupan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Kelmarin, Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Dewan Bankuet, Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.

Selain itu, tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here