MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini memaklumkan sektor kesihatan negara masih kekurangan doktor pakar, sehingga menyebabkan ada pesakit terpaksa menunggu dalam suatu tempoh untuk mendapatkan rawatan susulan.
Beliau berkata, pihaknya berharap Kementerian Kewangan (MOF) dapat memberikan komitmen supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memberikan tajaan kepada doktor kontrak melanjutkan pengajian supaya dapat memenuhi keperluan pakar sedia ada.
Katanya, setakat ini seramai 13,000 doktor pakar sedang berkhidmat di sektor perubatan awam dan swasta.
Bagaimanapun, katanya, pada tahun 2030, keperluan doktor pakar akan meningkat kepada 28,000 orang untuk merawat golongan warga emas dan penyakit tidak berjangkit.
“Sekarang ini kita tidak kekurangan doktor siswazah tetapi apa yang kita perlukan doktor pakar. Kekurangan pakar ini menyebabkan pesakit perlu menunggu.
“Oleh sebab itu, MOF harus memberi komitmen supaya kita dapat melatih doktor-doktor kontrak menjadi pakar demi memenuhi keperluan 10 tahun akan datang,” katanya dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata sedemikian menjawab soalan Rusnah Aluai (PKR-Tangga Batu) tentang masa depan doktor kontrak yang sehingga kini masih belum diserap dalam penjawatan tetap.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menjelaskan KKM mahu memberi kemudahan untuk doktor kontrak mendapatkan tajaan latihan persekutuan di insititusi pengajian awam agar membolehkan mereka menjadi doktor pakar.
“Berkenaan dengan masa depan mereka, saya amat prihatin kedudukan dan juga keadaan doktor kontrak.
“Sebab itu kita bukan hanya melihat lanjutan tempoh kontrak yang telah dipersetujui kerajaan tetapi penyelesaian peluang mendapat tajaan latihan persekutuan supaya mereka dapat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana,” ujarnya
Beliau menjelaskan, setakat ini syarat berkenaan hanya diberikan kepada pegawai tetap.
“Sekarang ini kita ingin memberi kemudahan yang sama kepada doktor kontrak supaya mereka layak memohon hadiah latihan persekutuan, sekali gus membolehkan mereka mengikuti pengajian kepakaran di institusi pengajian awam,” katanya. – Malaysiapost

