TRANSPARENCY International Malaysia (TI-Malaysia) kecewa apabila tiga bidang pembaharuan utama yang diketengahkan dalam Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) tidak terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan dan pembangkang.
Presidennya Muhammad Mohan, berkata ketiga-tiga bidang utama tersebut termasuk Akta Pembiayaan Politik, Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai satu suruhanjaya mengikut Perlembagaan.
“Kami juga kecewa kerana 3 bidang pembaharuan utama dalam NACP dan pelbagai kenyataan dari Ahli Parlimen dan NGO, dalam beberapa bulan terakhir ini, tidak terkandung dalam MOU,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, TI-Malaysia juga amat berwaspada dengan janji reformasi yang tidak berhasil dan berkali-kali tertangguh oleh kedua-dua kerajaan dan beberapa Perdana Menteri sejak pilihan raya yang lalu.
“Rakyat berhak mendapat sebuah Suruhanjaya yang bebas dan Pendakwa Raya yang cekap untuk mencegah rasuah, dan sebuah Parlimen profesional yang berintegriti,” katanya.
Kelmarin, Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) telah melakar satu sejarah negara dengan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang berlangsung di Dewan Bankuet, Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.
Selain itu, tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu. – Malaysiapost

