Titah Agong bukti kerajaan Muhyiddin tidak gagal

0
1
ir khairil nizam

KETUA Pemuda Perikatan Nasional (PN) Khairil Nizam Khirudin, berkata titah Yang di-Pertuan Agong ketika perasmian Dewan Rakyat hari ini membuktikan kerajaan PN tidak gagal dalam pengurusan negara.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, menerusi titah berkenaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga memberikan penghargaan kepada kerajaan PN kerana menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan mentadbir negara.

“Di dalam titah Seri Paduka Baginda juga memberikan penghargaan kepada Kerajaan PN yang telah menunjukkan prestasi yang sangat memberansangkan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara setahun yang lepas.

“Ini adalah bukti bahawa Kerajaan yang lalu tidak gagal dalam pengurusan negara,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Khairil Nizam berkata, beliau menjunjung kasih titah nasihat Yang di-Pertuan Agong kepada semua Ahli Parlimen untuk terus mengamalkan Demokrasi Bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan dihadapi negara.

“Pagi ini saya hadir ke Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 oleh Al-Sultan Abdullah.

“Baginda menyambut baik keterbukaan Kerajaan hari ini untuk melibatkan semua pemegang taruh termasuk ahli parlimen pembangkang dalam membantu tadbir urus negara.

“Baginda juga bertitah menghargai usaha-usaha ke arah merealisasikan kerjasama dwi-partisan yang bakal membentuk landskap baru politik tanah air dan membawa penambahbaikan ke dalam sistem pentadbiran negara,” katanya menerusi Facebook.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Oktober. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here