Perjawatan OSH di sekolah penting bendung Kemalangan semasa pandemik

0
1

Dr Shawaludin Husin 

PERSATUAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (Malaysian Society for Occupational Safety and Health – MSOSH) ingin menarik perhatian kerajaan, sektor pendidikan dan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di seluruh negara agar satu perjawatan OSH di sekolah dapat diperkenalkan segera. 

Langkah ini penting selaras dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sesi persekolahan bulan depan, di masa orang ramai masih lagi bergelut untuk mengurus dan menyesuaikan diri dalam persekitaran baru di mana virus Covid-19 masih lagi menular. 

Kebimbangan utama MSOSH adalah, dengan tekanan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan menjadi keutamaan, pihak berwajib seperti para guru akan terlepas pandang elemen bahaya (hazard) yang asas. 

Pematuhan OSH juga tidak boleh dibebankan di atas bahu para guru dan pengetua sekolah yang sudah tersedia sibuk dengan tugasan pengajaran dan pembelajaran. 

Apatah lagi pengurusan OSH memerlukan individu yang terlatih khusus dalam bidang tersebut terutama dari sudut penilaian risiko, perundangan dan teknikal. 

Sejak 10 tahun yang lalu, pelbagai kemalangan di sekolah melibatkan pelajar, guru dan pelawat dilaporkan media. 

Trend ini sangat membimbangkan dan MSOSH khuatir insiden ini mampu berulang kerana kualiti pematuhan OSH yang rendah lantaran kesan daripada pandemik Covid-19. Antara insiden yamg pernah berlaku adalah: 

i) Pada tahun 2019, seorang warga indonesia maut apabila terjatuh ketika mengecat sebuah sekolah di Johor. 

ii) Pada tahun yang sama, seorang jururawat cedera apabila bilah kipas siling tercabut dan menghimpap beliau di sebuah sekolah di Johor. 

iii) Pada tahun 2018, seorang murid di sebuah sekolah di Ipoh, Perak melecur terkena air panas ketika melakukan ujian amali sains. 

iv)Pada 2018 juga, seorang pelajar perempuan terbunuh, manakala dua rakannya cedera, akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang melayang di Sekolah di Tampin Negeri Sembilan 

v) Pada 2016, cecair kimia yang disimpan di stor sebuah sekolah di Negeri Sembilan tertumpah ketika dalam proses pembersihan. 

vi) Lapan tahun yang lalu, seorang pelajar tingkatan dua maut dihempap tiang gol semasa mengikuti latihan pendidikan jasmani di padang sekolah di Klang, Selangor. 

vii) Terakhir dan dilaporkan meluas di media, tahun lalu seorang guru di Kelantan tergelincir jatuh pada ketinggian tiga meter ketika sedang melakukan pemeriksaan kerja-kerja penyelenggaraan di sekolahnya sebagai persediaan pembukaan semula sekolah selepas ditutup empat bulan ekoran penularan Covid-19. 

Pihak MSOSH mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa-mangsa yang pernah terlibat. 

Berdasarkan rekod tersebut, MSOSH menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan agar satu perjawatan khas oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dapat diwujudkan untuk mengkoordinasi serta memimpin pematuhan OSH di Sekolah. 

Langkah ini juga sangat bertepatan dengan usaha progresif kerajaan meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di dalam sesi parlimen kali ini, agar pemakaian akta dapat meliputi lebih banyak sektor di dalam negara. 

Secara asas, akta ini juga menekankan keperluan OSH memastikan persekitaran yang selamat, bukan sahaja kepada pekerja tetapi lain-lain pihak di dalam kawasan yang terkesan. 

Di dalam konteks di sekolah, pematuhan OSH juga terpakai buat pelajar, kontraktor dan pelawat, bukan sahaja guru. Dengan bilangan pelajar yang besar dan bebanan kerja guru yang tinggi, maka adalah amat wajar untuk kerajaan melihat kepada cadangan perjawatan khusus OSH di sekolah. 

Pihak MSOSH juga ingin mengingatkan semua sektor di dalam kerajaan untuk terus menitik berat pematuhan OSH di tempat kerja demi kebaikan semua pihak dalam menghadapi suasana norma baharu yang mencabar ini.

Dr Shawaludin adalah Presiden MSOSH dan pengamal perubatan bertauliah dengan pengkhususan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here