Angka kematian Covid-19 Malaysia lebih teruk dari tragedi 9/11 – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menggambarkan jumlah kematian akibat Covid-19 di Malaysia lebih teruk daripada angka kematian akibat tragedi runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pandemik Covid-19 yang berlarutan selama 21 bulan di Malaysia telah mengorbankan seramai tujuh kali ganda dari tragedi di Amerika Syarikat (AS) berkenaan. 

Menurutnya, AS sedang menandakan ulang tahun ke-20 tragedi buruk itu, manakala kematian akibat Covid-19 di Malaysia semakin meningkat dan rakyat Malaysia berhak bertanya bila wabak ini akan berakhir. 

“Seramai 3,000 orang kehilangan nyawa dalam tragedi 9/11 di AS. Hari ini, semasa sidang Parlimen dibuka semula, Malaysia semakin menghampiri angka 21,000 kematian terkumpul akibat Covid-19. 

“Hari sebelumnya, laman web Kementerian Kesihatan (KKM), CovidNow, mencatatkan 292 kematian akibat Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, KKM juga menjangka peningkatan kematian yang dilaporkan dalam beberapa hari akan datang susulan ‘backlog’ maklumat kematian akibat Covid-19 sedia ada. 

Menurutnya, rakyat dinasihat untuk merujuk kepada set data yang baharu mengenai jumlah kematian sebenar sebagai petunjuk situasi semasa. 

“Penjelasan KKM ini menimbulkan kekeliruan. Pertamanya, KKM tidak menafikan yang angka kematian dilaporkan ini merupakan angka sebenar jumlah orang yang telah terkorban akibat Covid-19 di Malaysia. 

‘Kedua, berapa lamakah rakyat telah diberikan anggaran yang lebih rendah mengenai kematian akibat Covid-19 dalam negara sama ada satu, dua, atau tiga bulan?” soalnya. 

Kit Siang berkata, persoalan ketiga adalah angka kematian Covid-19 semalam, yang dilaporkan pada jam 1.30 pagi pada laman web CovidNow dan pada jam 4 pagi pada laman web Worldometer, menunjukkan terdapat 592 kematian, termasuklah 106 kes kematian luar hospital (BID).  

“Berapa banyakkah kematian ini termasuklah dalam kategori “kematian dilaporkan” dan “kematian sebenar”? 

“Keempat, adakah KKM bersedia untuk menerbitkan pembetulan kepada angka kematian ini untuk satu, dua, atau tiga bulan yang lepas untuk setiap hari?” soalnya lagi. 

Beliau turut mempersoalkan mengenai kadar pemberian vaksinasi kebangsaan yang kini dilihat semakin perlahan walaupun kerajaan menjanjikan setengah juta dos vaksin diedarkan sehari. 

“Kadar dos yang diedarkan semalam juga lebih rendah, pada kadar 227,476 dos. Kita perlukan satu penjelasan daripada Menteri Kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here