Apa saja tawaran, cadangan penambahbaikan perlu dibahas – Shafie

0
1

APA-APA sahaja tawaran dan cadangan penambahbaikan perlu dibincang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Semporna yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana ia adalah berkaitan kepentingan negara serta rakyat.

“Sebagai wakil kepada rakyat (Ahli Parlimen) yang dipilih oleh rakyat, sudah pasti kepentingan dan keperluan rakyat menjadi agenda utama untuk dibincang dan diangkat.

“Apa-apa sahaja tawaran dan cadangan penambahbaikan perlu dibincang dan dibahaskan.

“Apa yang penting, ia mesti berlandaskan kepada kepentingan negara dan yang terbaik untuk rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Mohd Shafie turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua Ahli Parlimen sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bermula di Dewan Rakyat hari ini.

Pembukaan persidangan itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi Titah Ucapan Diraja.

“Antara lain, baginda menyentuh tentang keperluan meletakkan kepentingan negara dan rakyat terutama sekali di dalam keadaan dunia terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman dilaporkan berkata tidak bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menjayakan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan kerana tidak dilibatkan dari awal.

Mohd Azis berkata partinya hanya dijemput pada peringkat akhir selepas PH dan kerajaan sudah berunding dan mencapai persetujuan untuk menandatangani MoU itu.

Katanya, perlu ada keikhlasan dalam kalangan blok pembangkang berhubung MoU berkenaan dan tidak sepatutnya Warisan diminta mengikut apa sahaja keputusan PH.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik akan ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua parti dalam PH di Dewan Bankuet, Parlimen pada jam 5 petang ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here