Sindiket penipuan pelaburan sasar warga Korea diberkas

0
2

TUJUH warga asing yang disyaki terbabit kegiatan penipuan pelaburan atas talian diberkas dalam serbuan di sebuah premis di Mont Kiara, Kuala Lumpur, semalam.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 35 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama Bahagian Siasatan Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur.

Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahdisham Ishak berkata serbuan dilakukan hasil maklumat berhubung kegiatan penipuan pelaburan atas talian membabitkan suspek warga asing berkenaan.

“Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 14 monitor, tujuh unit pemprosesan pusat (CPU), telefon bimbit pelbagai jenama (14) dan dua set modem serta satu set ‘router’.

“Kesemua tangkapan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket penipuan berkenaan mula beroperasi sejak Mac lalu dan menyasarkan mangsa dari negara Korea.

“Orang ramai diminta menghubungi polis sekiranya mempunyai maklumat berkenaan kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan di talian Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2146 0584/0585 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here