Tiada ruginya rai hari merdeka dan hari kebangsaan – Dr Agus

0
1

WARGA Malaysia harus mengenepikan perbezaan mengenai sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan negara.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata sepatutnya setelah 58 tahun bersama, semangat satu negara sudah menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia.

“Jika tentang tarikh merdeka pun kita bergaduh, susahlah untuk kita maju ke depan. Kita menyambut Hari Kemerdekaan pada Ogos setiap tahun, tetapi semangat ini tidak ada pada saudara kita di Sabah dan Sarawak. Bagi mereka, the born of a nation hanya berlaku pada 16 September 1963.

“Kata mereka, tahun itulah bersama Singapura dan Tanah Melayu, mereka ‘membentuk’ Malaysia. Kata kita, pada tahun inilah bersama Singapura, Sabah dan Sarawak ‘menyertai’ Malaysia. Kita berbeza pendapat antara ‘membentuk’ dan ‘menyertai’.

“Oleh sebab itulah, apabila kita menyambut Hari Merdeka, rakyat Sarawak dan Sabah tidak ghairah menyambutnya kerana bagi mereka, Malaysia belum wujud pada tarikh itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut Dr Mohammad Agus, tiada ruginya setiap rakyat Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan pada Ogos dan selepas itu meraikan Hari kebangsaan (Malaysia) pada September.

“Betul, fakta sejarah menunjukkan Malaysia terbentuk apda 16 September 1963. Tetapi sebelum itu, Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957.

“Marilah kita kekalkan persefahaman dan berasa bangga dengan hari kemerdekaan dan hari kebangsaan kita. Jadikanlah kedua-dua tarikh ini sebagai waktu untuk kita zahirkan rasa cinta dan setia pada negara.

“Jika tidak, sampai bila kita harus berbeza. Ingat, apapun perbezaan kita, cari titik persamaan. Sebagai rakyat dalam satu negara, we have always loved and will always love each other,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here