Pemandu pacuan empat roda lawan arus positif ganja

0
1

PEMANDU kenderaan pacuan empat roda yang melawan arus sehingga menyebabkan dua remaja maut di Kilometer 8.5 dan 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur awal pagi tadi, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata hasil saringan awal urin ke atas lelaki berusia 24 tahun itu mendapati suspek positif ganja, lapor Berita Harian.

“Suspek dibawa polis dari tempat kejadian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

“Kemudian dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan reman enam hari bermula hari ini hingga 17 September,” katanya.

Baharudin berkata, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton dipandu suspek secara melawan arus itu datang dari arah Kuala Lumpur ke Klang sebelum bertembung Proton Wira dari laluan bertentangan.

“Dua mangsa yang maut ialah wanita berumur 18 tahun yang memandu kereta dan penumpang lelaki berumur 19 tahun. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

“Setakat ini, kemungkinan mangsa adalah rakan kerana waris juga tidak dapat beri pengesahan. Kedua-dua mangsa dari arah Klang dan polis tidak pasti ke mana tujuan mereka,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here