Penggubalan RUU Anti-Gangguan Seksual keutamaan KPWKM – Rina

0
1

DRAF Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) telah mula digubal secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas dengan penyertaan pelbagai pihak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa peka dan mengambil serius terhadap isu gangguan seksual dalam masyarakat.

Dalam hal ini, katanya, KPWKM menyedari wujudnya kekangan daripada sudut perundangan dan polisi sedia ada seperti beban pembuktian yang tinggi, ketiadaan remedi khusus kepada mangsa selain wujudnya isu under-reporting kerana mangsa takut dan malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Draf ini telah mula disemak secara bersama oleh KPWKM dan Jabatan Peguam Negara mulai Januari 2021 bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul.

“Walaupun RUU ini masih dalam peringkat semakan, kes-kes gangguan seksual sedang ditangani melalui pelbagai Akta dan peraturan lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Rina berkata, pihaknya menggesa mangsa untuk terus tampil membuat laporan segera kerana Akta dan peraturan sedia ada boleh dikuatkuasakan untuk melindungi kepentingan dan keselamatan mangsa.

Beliau menambah, dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang gangguan seksual, KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sedang melipatgandakan usaha meningkatkan kesedaran dan program advokasi untuk mengelak perlakuan tersebut terus berleluasa sama ada secara fizikal, visual dan bentuk-bentuk lain.

“Pada tahun ini, sehingga Julai 2021, sebanyak 65 program kesedaran dan advokasi berkaitan gangguan seksual telah dilaksanakan oleh JPW dengan penglibatan 10,952 peserta di seluruh negara.

“Saya ingin tegaskan bahawa penggubalan RUU Anti-Gangguan Seksual ini tetap menjadi keutamaan kementerian dengan kerjasama erat Jabatan Peguam Negara.

“Pada masa ini, KPWKM sedang menunggu white bill atau kelulusan Jabatan Peguam Negara, sebelum RUU ini dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri, dan kemudian dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen dijangka pada tahun ini juga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here