Data individu divaksin akan diharmonikan

0
1

PASUKAN Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) ditugaskan untuk melakukan pengharmonian data bagi mendapatkan jumlah sebenar penduduk yang masih belum dan sudah menerima vaksinasi Covid-19 mengikut negeri.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah tersebut penting bagi memastikan kerajaan memperoleh angka sebenar bagi mencapai imuniti kelompok.

Katanya, pengharmonian data akan dilakukan di seluruh negara dan Kelantan menjadi antara negeri yang mempunyai angka sangat ketara memandangkan kebanyakan penduduknya yang berhijrah telah mendapat vaksinasi masing-masing di lokasi tempat tinggal mereka ketika ini.

“Kita akan lihat data ini kerana semasa kita cari mereka yang berada di Kelantan, kita dapati mereka telah diberi vaksin di negeri-negeri lain seperti di Putrajaya, Kuala Lumpur dan sebagainya. Jadi kita akan buat data secara harmoni.

“Negeri lain juga kita akan buat tetapi pada masa ini Kelantan adalah negeri yang ketara mengalami masalah ini,” katanya kepada media seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Mengulas mengenainya, Adham menjelaskan, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pengharmonian pendaftaran tersebut sekali gus dengan pengeluaran sijil MySejahtera.

Mengenai vaksinasi melibatkan masyarakat di Kelantan, Adham berkata, pihaknya dimaklumkan sebanyak 71 peratus keseluruhan penduduk dewasa telah lengkap dua dos vaksinasi.

“Jadi kita sekarang perlu memberi tumpuan di daerah-daerah dan kawasan yang mempunyai kadar vaksinasi rendah seperti di Gua Musang dan Kuala Krai.

“CITF negeri sudah bersetuju untuk terus bergerak dengan menggunakan bantuan pelbagai agensi bagi menghantar 18,000 dos vaksin jenis CanSino untuk mereka yang berada di luar bandar ini.

“Mengikut data, kita ada 7,000 masyarakat Orang Asli dan selepas habis vaksinasi mereka, dos selebihnya ini boleh digunakan untuk masyarakat biasa di kawasan pedalaman,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here