Pelancong meningkat, kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha dipertingkat

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kesiapsiagaan dan kapasiti untuk respon Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Pulau Langkawi

Ia antara bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata usaha itu dilakukan susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai lokasi projek rintis gelembung pelancongan domestik bermula 16 September ini.

Beliau berkata HSM adalah hospital “hybrid” yang merawat pesakit Covid-19 (79) katil dan bukan Covid-19 (142 katil).

“Melalui penubuhan i-PKRC LISRAM pada 4 Ogos 2021 lalu, sebanyak 60 katil tambahan telah diwujudkan bagi merawat pesakit Covid-19 kategori 1,2 dan 3 (berisiko rendah).

“Manakala bagi ICU, sebanyak lapan katil tambahan diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13.

“Daripada jumlah ini, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, jabatan-jabatan lain HSM antaranya  Jabatan Kecemasan dan Trauma; Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan; Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsagaan masing-masing bagi merawat kes Covid-19 yang mungkin akan bertambah.

“Melalui perbincangan bersama pihak HSM dan JKN Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan-tindakan proaktif tertentu diambil.

“Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes Covid-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan pihak swasta,” katanya.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan kepada semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi SOP.

“Tatkala kita cuba mengimbangi di antara nyawa dengan kelangsungan hidup dan ekonomi, marilah kita bersama-sama memastikan tiada peningkatan jangkitan virus Covid-19 di pulau percutian ini. Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here