MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan mesyuarat semalam untuk membincangkan sebuah memorandum persefahaman antara gabungan itu dan pihak kerajaan.
Susulan itu, PH telah memberi pandangan dan cadangan tambahan kepada tujuh reformasi yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Sri Ismail Sabri Yaakob kelmarin.
Menerusi kenyataan lewat malam tadi, Majlis Presiden PH memaklumkan memorandum persefahaman itu adalah susulan kepada pertemuan antara pimpinan tertinggi PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.
Ia juga memaklumkan, siri pertemuan antara wakil PH dan wakil Perdana Menteri telah diadakan, antaranya membincangkan perkara dasar dan program khusus di mana penekanan juga diberikan kepada keperluan reformasi bidang ekonomi dan kesihatan awam bagi menangani Covid-19.
“Selain itu, isu urusan perjalanan Parlimen, soal pengabsahan, dan perkara berkaitan penambahbaikan tatakelola kerajaan turut dibincangkan.
“PH berpendirian bahawa suntikan fiskal tambahan RM45 bilion perlu dibuat kepada Dana Covid-19 RM65 bilion yang kini hanya berbaki RM8.6 bilion untuk menangani pandemik dan memberikan bantuan kewangan kepada rakyat.
“Di samping itu perlunya ada pengecualian bayaran faedah ke atas moratorium pinjaman bank untuk golongan B40 dan M40,” kata kenyataan itu.
Majlis Presiden memberitahu, ia turut membincangkan langkah reformasi politik yang perlu disertakan dalam memorandum tersebut.
Antaranya memperkasakan pelaksanaan Undi 18 sekarang, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman.
Menurutnya, wakil-wakil turut membincang isu undi percaya serta mekanisme pemantauan pelaksanaan memorandum persefahaman ini.
“Secara dasarnya, PH cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman ini demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, tertakluk kepada perincian penambahbaikan deraf yang perlu diperhalusi wakil kedua-dua pihak sebelum boleh dimuktamadkan.
“Marilah kita menggembleng seluruh kekuatan untuk menangani pandemik Covid-19 dan mengatasi kemelesetan ekonomi yang melanda negara kita,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Anwar, Mohamad dan Guan Eng.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Tawaran itu meliputi tujuh perkara iaitu Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
Tujuh perkara dikemukakan bagi melaksana transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan meliputi pembentangan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. – Malaysiapost

