Naib Ketua Pemuda Amanah Perak mohon maaf kepada Dr Kamarul

0
1

NAIB Ketua Pemuda Amanah Perak Mohd Fitri Asmuni bersetuju untuk membuat permohonan maaf terhadap penganalisi politik Dr Kamarul Zaman Yusoff berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada 27 Julai tahun lalu.

Dalam penghakiman persetujuan yang dicapai di depan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan semalam, Mohd Fitri telah bersetuju membuat kenyataan permohonan maaf terhadap Kamarul.

Dr Kamarul yang diwakili Peguam, Mohd Harris Mohan Abdullah, telah mengemukakan saman sivil di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas fitnah dari dua artikel ditulis dan disiarkan oleh Mohd Fitri menerusi Facebooknya.

Dua artikel yang dipertikaikan tersebut adalah bertajuk ‘Dr Kamarul Yusoff, Cybertrooper Bertaraf Doktor’ dan ‘Dr Kamarul Zaman Yusoff Kaki Putar Belit, Astora Jabat Masa Kini’ masing-masing bertarikh 23 dan 25 Mei 2017 yang memfitnah Dr Kamarul.

“Saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan dan tanpa pengakuan terhadap liabiliti memohon maaf kepada Dr Kamarul di atas penerbitan kedua-dua buah artikel tersebut yang telah mengguris hati beliau.

“Saya juga menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut serta berjanji tidak akan menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya di masa hadapan.

“Kenyataan ini dibuat atas semangat persahabatan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak ingin memanjangkan lagi kes ini di Mahkamah,” ujarnya menerusi kenyataan permohonan maaf di Facebook beliau itu.

Sementara itu, Dr Kamarul mengesahkan perkara ini dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan moral yang akan menjadikan beliau lebih bersemangat di dalam menghadapi kes-kes saman fitnah lain.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada peguam saya yang mengusahakan cadangan penyelesaian ini dan kepada Mohd Fitri yang bersetuju untuk membuat kenyataan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Kamarul juga berkata, kes ini sewajarnya menjadi pengajaran kepada ahli politik, khususnya mereka yang dari golongan pemuda, supaya tidak bersuara mengikut rasa dan lebih berhemah di dalam berhujah.

“Golongan pemuda ini biasanya berdarah panas, tetapi masa sama mereka perlu memastikan hujah mereka rasional dan dipandu oleh fakta, dan tidak menggelar orang lain sesuka hati, bila sedar buat silap terus akui kesilapan dan mohon maaf,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here