SEORANG lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika memanjat pokok buah dabai di Jalan Lukut-Penyulau, Kanowit Sarawak petang semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Ting Siew Kiong, 52, sedang memanjat pokok buah dabai setinggi 10 meter, menggunakan penjolok aluminium sebelum terkena renjatan elektrik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Arrahman Chik, berkata mangsa menggunakan penjolok aluminum itu bagi memudahkan urusan menjolok buah .
“Sebaik sahaja di atas pokok, mangsa bertindak menjolok buah dabai berkenaan dengan menggunakan penjolok aluminium sebelum ia terkena pada kabel elektrik berhampiran pokok lalu terkena renjatan elektrik,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari BBP Kanowit bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden berkenaan bagi menjalankan khidmat khas mengeluarkan mayat mangsa yang masih tersangkut pada dahan pokok.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian pasukan bomba mendapati, sememangnya terdapat seorang lelaki masih lagi tersangkut pada dahan pokok terbabit.
“Sebagai langkah keselamatan, pasukan bomba meminta bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB) supaya memutuskan elektrik di kawasan terbabit sebelum kerja menurunkan mayat mangsa dijalankan.
“Pasukan bomba mengambil masa selama dua jam bagi menurunkan mayat mangsa yang masih tersangkut pada pokok buah terbabit.
“Sejurus berjaya diturunkan, pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa dan mengesahkannya sudah meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden yang meragut nyawa mangsa.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. – Malaysiapost

