Warta semula HSKLU bukti pentadbiran responsif, cakna

0
1

KEPUTUSAN kerajaan Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bukti pentadbiran bersifat responsif, cakna serta memegang prinsip akauntabiliti dan tata kelola yang tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Najwan Halimi bekata desakan pelbagai segmen masyarakat telah mencetuskan impak dalam tuntutan pembatalan nyahwarta HSKLU oleh kerajaan negeri.

“Saya menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk mewartakan semula HSKLU.

“Ternyata desakan pelbagai segmen masyarakat merangkumi gabungan pertubuhan pencinta alam, pimpinan politik rentas parti termasuk warganet mencetuskan impak yang tinggi dalam tuntutan pembatalan nyahwarta HSKLU,” katanya menerusi kenyataan.

Wakil rakyat PKR itu seterusnya merakamkan penghargaan khusus kepada kepimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang konsisten mempertahankan pendirian berhubung isu itu.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor yang sebulat suara mendukung Usul No 26 di bawah Peraturan Tetap 26 (1) yang dibentangkannya dalam persidangan Dewan Negeri Selangor, 11 November 2020.

“Adalah diharapkan semoga keputusan bersejarah ini menjadi pemangkin buat kerajaan Selangor untuk terus mengangkat agenda hijau dalam pentadbiran.

“Serta melaksanakan pendekatan pembangunan lestari yang menjamin kelangsungan alam sekitar seterusnya menjadi contoh ikutan kepada pentadbiran kerajaan negeri yang lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here