POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah terbesar di Sabah apabila merampas lebih 300 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai lebih RM10 juta di Kampung Batu Payung di Tawau, Isnin lalu.
Kejayaan itu susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun di kawasan Membalua Batu 10, pada jam 7.30 malam.
Lelaki terbabit sebelum itu ditahan untuk pemeriksaan selepas didapati memandu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan.
Suspek pada mulanya cuba melarikan diri dengan memecut kenderaannya sehingga ke kawasan Kampung Batu Payung sebelum berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata pemeriksaan awal ke atas kenderaan dinaiki suspek menemui lima bagasi di bahagian penumpang belakang sementara tujuh lagi bagasi berada dalam ‘bucket’ belakang kenderaan itu.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas setiap bagasi terbabit menemui 290 bungkusan teh cina berwarna hijau bertulis ‘GUANYINWANG’.
“Setiap bungkusan itu mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat kasar keseluruhan 303,155.00 gram bernilai RM10,914,000,” katanya dalam sidang media hari ini.
Idris berkata berdasarkan siasatan pihaknya tidak menolak kemungkinan syabu itu dibawa masuk dari luar Sabah yang dipercayai menggunakan jalan laut sebelum diedar dan diseludup kepada rangkaian sindiket pengedaran dadah termasuk ke negara jiran.
Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang utama dan ahli sindiket yang terlibat termasuk sumber dadah berkenaan diperolehi.
Polis juga, katanya,, sedang mengesan saki baki dadah atau harta milik suspek yang boleh dijadikan bukti untuk dikaitkan dengan kegiatan berkenaan.
“Kita juga mendapatkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mengenal pasti rangkaian sendiket pengedaran dan penyeludupan yang disyaki membawa masuk dadah daripada negara luar,” katanya.
Susulan penahanan suspek, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Berajaya, Tawau, dan menyita wang tunai RM27,000, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier selain wang dalam akaun bank berjumlah RM95,284.57 milik suspek.
Suspek direman tujuh hari sehingga 15 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

