ORANG ramai digesa melaporkan kepada agensi penguatkuasa sekiranya mengesyaki sebarang cubaan untuk melakukan pencemaran oleh mana-mana pihak atau orang perseorangan.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman berkata setiap warga Malaysia harus memainkan peranan dengan menghargai alam sekitar demi mencapai kesejahteraan bersama.
Beliau juga menekankan pencemaran sumber air bukan sahaja bencana kepada alam sekitar, malah ibarat mimpi buruk kepada pengguna yang terputus bekalan dan perlu mendapatkan air dari lori tangki serta alternatif lain disediakan oleh operator.
“Bebanan dari henti tugas loji turut dirasai pengendali perkhidmatan/operator apabila mereka perlu menggerakkan pelbagai aset bagi memastikan kelangsungan bekalan kepada pengguna.
“Pada masa sama mengalami kerugian dari kehilangan pendapatan disebabkan ketiadaan perkhidmatan,” katanya hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Dr Mansor hari ini mengadakan lawatan lawatan ke muka sauk Sungai Semenyih dan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.
Lawatan tersebut bagi meninjau kesan daripada kes pencemaran sebatian penyebab bau yang menyebabkan loji terpaksa dihenti tugas dua kali dalam tempoh kurang seminggu sebelum ini.
Pada 3 September lalu, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran bau menyebabkan 463 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air.
Insiden itu berlaku kali kedua dalam tempoh tiga hari selepas insiden sama terjadi di LRA Sungai Semenyih tersebut. – Malaysiapost

