“Tommy mahu jawab tak” – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menegaskan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi buku tulisannya berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Menurutnya, dalam buku berkenaan Tommy menggambarkan berlakunya penyalahgunaan kuasa serta campur tangan politik dalam sistem perundangan negara.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, isu berkenaan juga dibangkitkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengatakan Tommy tidak telus.

“Tommy mahu jawab tak? Semalam, LPPR SPRM tuduh Tommy tidak telus, tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik.

“Itulah sebab hampir 100 peratus kes lucut hak dibuat masa Tommy yang dilawan oleh responden telah kalah dalam mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berkata, kebiasaannya pihak pendakwaan hanya akan mendakwa sekiranya mempunyai 90 peratus peluang untuk menang dan bukannya peluang hampir 100 peratus untuk kalah.

“Itulah sebab juga RCI bagi pendedahan Tommy dalam buku dia sendiri yang menggambarkan penyalahgunaan kuasa serta campur tangan politik dalam perundangan perlu diadakan,” katanya.

Menurutnya, badan-badan pemantau bebas SPRM yang diwujudkan adalah bermula ketika beliau menjadi Perdana Menteri, namun ia  tidak wujud ketika Tommy menjadi Peguam Negara setelah dibubarkan pada zaman Pakatan Harapan (PH) walaupun ianya dibenarkan bawah Seksyen 13 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

“Sebab itu, kes-kes yang digugurkan masa PH tidak pernah dibawa untuk dipantau oleh lembaga-lembaga tersebut,” dakwanya.

Terdahulu Pengerusi LPPR SPRM, Tan Sri Tan Sri Abu Zahar Ujang, dalam satu kenyataan semalam menyatakan badan itu memandang serius berhubung isu penarikan balik kes-kes melibatkan individu tertentu semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Abu Zahar merujuk isu penarikan balik kes terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, dan LPPR telah mendapatkan pandangan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM mengenainya.

LPPR mengambil maklum bahawa penarikan balik kes itu berasas fakta baharu daripada siasatan lanjut setelah tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 ketika perbicaraan.

Namun menurutnya, LPPR berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh Peguam Negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh.

LPPR berpandangan sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus serta tidak profesional dan lebih menjurus kepada kepentingan politik telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here