JABATAN Peguam Negara bersetuju meminda pertuduhan bagi kes seorang pengawal keselamatan yang diserang ketika sedang bertugas di sebuah kondominium di Ipoh, pada Disember 2020 hingga parah sebelum meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata persetujuan itu diperoleh selepas pihak polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) susulan kematian mangsa.
Menurutnya, seperti dimaklumkan sebelum ini iaitu pada 29 Disember 2020, polis telah menjalankan siasatan atas kesalahan mendatangkan kecederaan kepada pengawal keselamatan terbabit sehingga membawa kepada penangkapam seorang lelaki berusia 33 tahun.
“Suspek kemudian dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu mengikut Seksyen 355 KK kerana menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah.
“Namun selepas pihak polis mengklasifikasikan semula kes mengikut 302 KK, Jabatan Peguam Negara bersetuju meminda pertuduhan dan tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan pindaan daripada Seksyen 355 KK kepada Seksyen 302 KK,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, justeru pihaknya memohon agar tiada pihak membuat sebarang tanggapan negatif terhadap polis yang masih dan sedang menjalankan siasatan sehingga kes berkenaan diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Kenyataan-kenyataan yang tidak sahih, tidak tempat dan mengelirukan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu dikhuatiri boleh menimbulkan prejudis serta boleh menganggu siasatan.
“Ia juga boleh memberi gambaran negatif terhadap badan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersungguh-sungguh menjalankan tugas supaya proses keadilan dan perundangan dapat dilaksanakan,” katanya.
Sebelum ini tular video menunjukkan seorang pengawal keselamatan diserang ketika bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh, Disember lalu, sebagai kes bunuh.
Mior Faridalathrash dalam satu kenyataan pada 28 Ogos lalu mengesahkan kejadian dan memaklumkan ia berlaku pada 29 2020 dan video berkenaan tular selepas kematian mangsa pada 27 Ogos lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati kerana mangsa menghalang anaknya menggunakan kolam renang, yang ditutup untuk kegunaan awam pada masa berkenaan. – Malaysiapost

