
LEBIH 50 peratus daripada populasi penduduk Malaysia telah lengkap divaksinasi iaitu 14, 492,295 individu atau 50.5 peratus, setakat semalam dan secara keseluruhan 37,392,241 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan.
Berdasarkan infografik dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, di Twitter, jumlah yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula adalah 20,943,582 atau 64.1 peratus.
Jumlah pemberian vaksin harian untuk semalam pula adalah sebanyak 320,452 dos membabitkan 128,038 dos pertama dan 192,414 dos kedua.
Secara keseluruhan peratusan populasi dewasa yang sudah lengkap vaksinasi adalah sebanyak 70.5 peratus, manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah 89.5 peratus.
Lembah Klang hampir mencatatkan 100 peratus populasi dewasa yang lengkap vaksinasi iaitu 98.4 peratus setakat semalam, dan diikuti Labuan dengan 95.7 peratus.
Sarawak pula mencatatkan 87.9 peratus populasi dewasa yang sudah lengkap vaksinasi, manakala Negeri Sembilan mencatatkan 85.1 peratus.
Perlis kini menghampiri 80 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi dengan 72.6 peratus setakat semalam, manakala Sabah masih rendah dalam peratusan populasi dewasa lengkap vaksinasi iaitu 47 peratus. – Malaysiapost
