Muhyiddin garis 5 tema utama fokus MPN

0
1

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan lima tema utama yang akan menjadi fokus MPN.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau memaklumkan perkara itu disampaikannya dalam ucapan di Majlis Penutup Sidang Kemuncak Pemulihan Negara anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur secara maya.

Katanya, lima tema yang menjadi fokus kepada MKN adalah antaranya memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan industri berkaitan untuk keluar dari pandemik ke tahap endemik dan bersedia dengan kemungkinan berhadapan pandemik baharu pada masa depan.

“Kedua, mengenal pasti sektor-sektor ekonomi yang memerlukan perhatian utama dan ketiga, mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mapan untuk pertumbuhan inklusif yang akan merancakkan pemulihan,” katanya.

Tambahnya, memperluaskan pelaksanaan digitalisasi dalam perniagaan dan perkhidmatan awam selain menyediakan infrastruktur perlu yang akan menggalakkan penggunaan teknologi digital juga merupakan antara tema yang diutamakan oleh MKN.

“Dan terakhir, memastikan pertumbuhan yang dipupuk daripada proses pemulihan diagihkan secara saksama bagi mengelakkan jurang pendapatan melebar dan memburukkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Justeru, saya mengalu-alukan saranan dan pandangan daripada pihak industri, pimpinan masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, belia, parti politik dan semua pihak untuk bersama-sama menyumbang kepada proses pemulihan negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here