Lori bawa tar rempuh 7 kenderaan

0
1

SEBUAH lori muatan tar merempuh tujuh kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat Persiaran Bukit Rahman Putra 2, Sungai Buloh, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, pemandu lori berusia 35 tahun itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya kerana mengalami masalah brek ketika menuruni bukit di kawasan berselekoh di laluan itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata ketika kejadian, lori ‘tipper’ jenis Nissan CD54V berkenaan sedang dalam perjalanan dari Bukit Rahman Putra untuk ke Petaling Jaya.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, lori berkenaan hilang kawalan akibat mengalami masalah brek dan merempuh tujuh buah kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat daripada arah belakang.

“Kenderaan yang dilanggar masing-masing terdiri daripada sebuah Honda Jazz, Perodua Myvi, trak Isuzu NRR35, pikap Isuzu D-Max, van Daihatsu Gran Max, Perodua Axia dan van Toyota Hiace,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafa’aton berkata, kesemua mangsa dalam kemalangan terbabit terselamat.

“Hanya kenderaan yang terbabit mengalami kerosakan dengan sebuah daripadanya rosak sepenuhnya.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here