LELAKI yang menyerang seorang pengawal keselamatan hingga parah di sebuah kondominium di Ipoh tahun lalu, didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini selepas mangsa meninggal dunia 27 Ogos lalu.
Pihak pendakwaan meminda pertuduhan terhadap ahli perniagaan terbabit, susulan polis mengklasifikasikan semula kes daripada Seksyen 335 Kanun Keseksaan (KK) kepada Seksyen 302 KK.
Memetik laporan Harian Metro, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Tertuduh didakwa membunuh S Thava Sagayam di Tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff antara jam 8 hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.
Ahmad Noor didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Manakala, bagi Seksyen 335 Kanun Keseksaan mahkamah melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Azalina Rashdi manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.
Turut hadir, isteri mendiang Thava Sagayam iaitu E Philomena, 59, bersama empat peguam pemerhati M Kulasegaran, A Sivanesan, N Selvam dan Omar Kutty.
Mahkamah menetapkan 18 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan sebulan kes.
Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, dalam satu kenyataan memaklumkan Jabatan Peguam Negara bersetuju meminda pertuduhan bagi berkenaan kepada Seksyen 302 KK.
Pendakwaan sebelum ini pada 6 Januari lalu dibuat di Mahkamah Majistret Ipoh mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah.
Kes tertuduh sepatutnya disebut semula hari ini, namun mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan dan digantikan dengan Seksyen 302 KK susulan kematian mangsa. – Malaysiapost
Kredit Foto: Sinar Harian

