Guan Eng nafi langgar perintah kuarantin

0
1
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di perkarangan pintu 2 Istana Negara selepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan beliau tidak melanggar peraturan kuarantin di rumah dengan keluar ke tempat awam mengedarkan bakul makanan seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau berkata, pengedaran bakul makanan yang dimuat naik di hantaran Facebook dilakukan sebelum 31 Ogos di kawasan Parlimennya, Bagan.

Jelasnya, beberapa wakil rakyat DAP yang hadir bersama ketika pengedaran bakul makanan itu juga mengesahkan perkara tersebut.

“Wakil-wakil rakyat DAP iaitu Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Sateesh Muniandy yang hadir bersama saya, serta penerima bantuan, juga dapat mengesahkan bahawa pengedaran bakul makanan telah dilakukan pada atau sebelum 31 Ogos.

“Hantaran Facebook pengedaran bakul makanan dibuat bukan pada hari sama tetapi beberapa hari selepas acara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, beliau hanya diberitahu pada 2 September lalu setelah menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bahawa beliau mungkin kontak rapat dengan seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September.

Susulan itu, katanya, beliau tinggal di rumah di bawah kuarantin kendiri selepas menghadiri sidang DUN pada 2 September dan telah diuji negatif.

“Pada 6 September, Kementerian Kesihatan secara rasminya mengeluarkan arahan kuarantin kendiri di rumah dari 1 sehingga 10 September dan mewajibkan saya memakai gelang merah jambu,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melanggar peraturan kuarantin rumah dari 1 hingga 10 September dengan menghadiri mesyuarat DUN Pulau Pinang pada 2 September.

Beliau juga didakwa keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan kepada penduduk di kawasannya pada 2, 4 dan 8 September. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here