TIDAK wajar kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diabsahkan oleh Dewan Rakyat, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Justeru, Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, partinya berpandangan usul undi percaya bagi menentukan keabsahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tidak diperlukan dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula minggu depan.
“Yang di-Pertuan Agong ini adalah kuasa yang lebih tinggi. Saya rasa penghormatan perlu kita beri kepada keputusan tersebut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Penerangan Bersatu hari ini, sempena sambutan ulang tahun kelima parti itu.
Mengulas lanjut, Wan Saiful menegaskan, keputusan Yang di Pertuan Agong adalah keputusan mutlak yang tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
“Kuasa ini sebenarnya kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. Apabila baginda membuat keputusan bahawa sudah ada bilangan yang cukup dan diumumkan pula 114 (Ahli Parlimen menyokong Ismail Sabri).
“Pengumuman Yang di-Pertuan Agong ini juga jelas menyatakan baginda bukan sahaja merasakan, tetapi mempunyai bukti bahawa ada majoriti yang jelas,” katanya.
Terdahulu, persoalan sama ada usul undi percaya terhadap Perdana Menteri akan diadakan terjawab apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendakwa ia tiada dalam agenda aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat yang bakal bersidang minggu depan.
Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, aturan urusan mesyuarat Parlimen diterimanya menetapkan antara usul terawal adalah berkenaan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan cadangan daripada Menteri Dalam Negeri. – Malaysiapost

