KL, Putrajaya beralih Fasa 2 Jumaat ini

0
1

KUALA Lumpur dan Putrajaya akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Jumaat ini.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan masyarakat khususnya warga kota mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata bagi Labuan pula, pulau bebas cukai itu akan dijadikan seperti Pulau Langkawi yang dibuka semula di bawah program gelembung pelancongan mulai 16 September ini.

“Mulai 10 September ini, Wilayah Persekutuan akan masuk ke Fasa Kedua. Labuan sama seperti Langkawi,” katanya seperti dilapor portal WilayahKu.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak dan hasil produk pertanian kebun bandar Hijrah Warrior di Taman Desa, Kuala Lumpur petang tadi.

Dalam pada itu, Shahidan mengumumkan Hijrah Warrior Mart yang bakal memasarkan hasil produk pertanian dari Hiliran Anjung Kelana akan memulakan operasi pertamanya pada 1 Oktober nanti.

“Gerai pertama akan dibuka di Teratak Muhibbah 1, Taman Desa. Ia akan beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, seramai empat gelandangan akan berkerja mengikut syif dengan gaji minima RM1,200 dan disediakan tempat penginapan percuma.

“Mereka akan diberi bimbingan dan motivasi supaya dapat bersama dengan masyarakat lain,” katanya.

Beliau berkata, peserta Hijrah Warrior Mart juga diberi pendedahan khusus mengenai pengurusan perniagaan secara fizikal dan atas talian yang membolehkan orang ramai membeli produk-produk mereka dengan lebih mudah.

Hijrah Warrior merupakan kelompok gelandangan yang diselamatkan di sekitar Kuala Lumpur semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here