Pertembungan 3 penjuru rugikan BN Johor – PN

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) Johor berpendapat pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal merugikan lagi Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pilihan Raya PN Johor, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, perkara itu terbukti apabila BN Johor tewas 37 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Katanya, PN Johor kini bersiap siaga, untuk bertanding di semua kerusi DUN dan Parlimen sekiranya Parlimen dibubar pada bila-bila masa.

“Namun sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak, termasuk BN-Umno, bagi mengelak pertembungan tiga penjuru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, PN Johor kekal mendokong kerajaan negeri biarpun beberapa kenyataan politik dibuat Badan Perhubungan Umno Johor dan Pengerusi BN Johor sehingga ke hari ini amat mengecewakan.

“Malah PN Johor berpendapat kenyataan berbaur kekuatan politik kepartian berasaskan kekuatan silam sudah tidak releven dalam suasana senario politik semasa,” katanya.

Tambah Abd Latiff, dokongan PN Johor setakat hari ini dibuat bukan kerana Umno tetapi demi rakyat Johor khususnya dan Malaysia secara amnya.

“Justeru PN Johor akan terus memikirkan soal negara, negeri dan rakyat, supaya tidak timbul satu pergolakan, bahkan perkara yang membawa kesan buruk pada negeri dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata PN Johor menyeru parti-parti politik agar kurangkan “politicking”.

“Dan seluruh Bangsa Johor terus bersatu hati memberi kepercayaan kepada kerajaan persekutuan dalam melaksana Pelan Pemulihan Negara agar kita semua dapat keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi dengan kadar segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here