UMNO mencalonkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada persidangan yang dijadualkan bermula minggu depan.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pencalonan tersebut bagi mengisi kuota Umno yang kosong selepas penyandangnya yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman meletakkan jawatan.
“Ya memang benar, Umno mencalonkan Ahmad (Maslan). Memandangkan sebelum ini Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (daripada Umno), maka kita calonkan wakil kita,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas mengenai desas desus pencalonan Azalina sebagai Speaker Dewan Rakyat, Mohamed Nazri menegaskan, tidak timbul cadangan untuk Umno menukarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
“Kita tidak calon atau cadang tukar Speaker Dewan Rakyat, ia kekal. Kita calonkan wakil Umno untuk ‘kerusi’ yang dikosongkan wakil Umno,” katanya. – Malaysiapost

