SEORANG wanita gembira menemui semula barang kemas miliknya yang tidak sengaja dibuang dalam timbunan sampah daripada sebuah lori syarikat konsesi pembersihan, Environment Idaman (E-Idaman) di Sik, Kedah hari ini.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, wanita berusia 30-an berkenaan menemui semula barang kemasnya dengan menyelongkar sampah hampir 30 minit di Depoh E-Idaman di Sik, lapor BH Online.
Mengikut pekerja syarikat itu, wanita itu dikatakan pergi ke tapak pelupusan sampah di Kulim selepas diberitahu kotak menyimpan barang kemasnya telah dibuang secara tidak sengaja.
“Namun selepas mendapat maklumat sampah dikutip semalam belum sampai ke Kulim, wanita itu kemudiannya hadir ke Depoh E-Idaman di sini untuk mencarinya.
“Atas budi bicara pekerja syarikat berkenaan, mereka bersetuju membantu dan wanita itu bernasib baik kerana tempat tinggalnya menjadi lokasi terakhir operasi kutipan sampah semalam.
“Sebab itu tidak banyak sampah perlu dipunggah bagi membantunya menemui barang kemas itu yang difahamkan mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya yang enggan dikenali.
Terdahulu, tular video wanita itu meminta bantuan pekerja E-Idaman menurunkan sampah daripada sebuah lori sebelum menyelongkarnya bagi mengesan beg berisi barangan kemas itu.
Menerusi video berdurasi 2 minit 50 saat itu turut memaparkan wanita berkenaan gembira sebaik menemui barangan berkenaan sambil berulang kali berterima kasih kepada petugas pembersihan yang membantunya.-Malaysiapost

