LESEN pemandu lori yang merempuh lima kenderaan di simpang lampu isyarat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam boleh digantung dan dibatal, kata Menteri Pengangkutan.
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah diarah menyiasat kejadian itu mengikut audit Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).
“Sekiranya pengendali terbabit didapati gagal mematuhi audit ICOP yang juga sebahagian daripada syarat-syarat lesen kenderaan perkhidmatan perdagangan, tindakan penggantungan atau pembatalan lesen pengendali di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh diambil oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Tindakan penggantungan lesen memandu juga boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ka Siong, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemandu terbabit boleh dihukum penjara minimum tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun.
Selain itu, denda sehingga RM50,000 juga boleh dikenakan.
Pemandu terbabit juga bakal hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.
Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, sebuah lori yang menghala ke Sentul dari Jalan Duta gagal dikawal dan merempuh lima kenderaan lain yang berhenti di simpang lampu isyarat.
Nahas terbabit mengakibatkan pemandu Perodua Myvi cedera ringan di muka dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala pemandu empat kenderaan lain dilaporkan tidak cedera.
Siasatan awal polis mendapati pemandu terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine. – Malaysiapost

