AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata beliau amat menghargai sokongan semua pihak yang tidak pernah putus asa terhadap perjuangannya.
Perkara itu dizahirkan beliau selepas mengakui menerima banyak doa dan ucapan tahniah daripada pelbagai pihak berhubung perkembangan positif berkaitan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya yang dilaporkan media semalam.
“Sejak semalam saya menerima begitu banyak doa dan ucapan tahniah dari saudara mara, rakan taulan dan sahabat handai.
“Buat semua yang sentiasa menyokong, memberikan kekuatan dan semangat serta tidak pernah putus asa setia bersama perjuangan saya, tiada kata yang mampu saya berikan selain saya serahkan segala urusan dunia ini untuk diadili oleh Allah SWT untuk membalas segala kebaikan kalian dan begitu pula sebaliknya,” katanya dalam hantaran Facebook.
Namun, Abdul Azeez berkata, beliau difahamkan terdapat juga petikan dan laporan media yang agak mengelirukan membabitkan tajuk dan isi kandungan berkaitan dengan perbicaraan kes itu, semalam.
“Di sini saya kongsikan laporan dari pihak Bernama yang menggambarkan keadaan yang lebih jelas dan jujur tentang apa yang telah berlaku di mahkamah semalam.
“Saya kongsikan demi menjelaskan kekeliruan berkaitan proses perundangan melibatkan tuduhan dan pendakwaan yang dikaitkan terhadap saya,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Mahkamah Rayuan dimaklumkan bahawa pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji tidak boleh bertahan kerana ahli politik itu merupakan pekerja Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad berkata, analisis laporan kewangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan Abdul Azeez adalah pekerja syarikat itu dan beliau menerima gaji yang sah serta membayar cukai pendapatannya.
Amer Hamzah berkata, berdasarkan fakta ini, pihak berkaitan tidak boleh berbolak-balik kerana dari satu segi, mereka mengakui bahawa Abdul Azeez sememangnya makan gaji dengan syarikat itu tetapi pada masa sama, masih mendakwanya dengan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti yang tidak sah daripada majikan.
Sebelum ini, Abdul Azeez, 55, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM5.2 juta yang mempunyai kaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta yang didakwa diterimanya daripada syarikat Menuju Asas. – Malaysiapost

