Kumpul bahan bacaan untuk banduan

0
2

SEPANJANG pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, banduan di penjara dilaporkan bosan dan tertekan susulan tidak berpeluang mengikuti pelbagai latihan kemahiran termasuklah kelas agama yang sebelum ini diwajibkan kepada mereka.

Bagi menangani isu berkenaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) mengambil inisiatif membantu golongan berkenaan dengan mengumpulkan bahan bacaan untuk diedarkan ke penjara-penjara.

Menurut badan bukan kerajaan (NGO) itu, ia bagi membantu para banduan agar dapat menggunakan masa terluang mereka dengan membaca di samping menambahkan ilmu pengetahuan.

Muslim Care melalui laman Facebooknya, memohon sumbangan bahan bacaan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada pihak penjara bagi tujuan itu.

“Berikutan PKP 3.0, para banduan di penjara-penjara tidak berpeluang untuk mengikuti pelbagai latihan kemahiran termasuklah kelas agama yang sebelum ini diwajibkan kepada mereka.

“Semua banduan menghabiskan masa di bilik tahanan masing-masing sehingga menyebabkan mereka menjadi bosan dan tertekan,” menurut Muslim Care.

Menurut Muslim Care, berdasarkan laporan media, pihak penjara hanya mampu menggunakan pembesar suara bagi mendengarkan siaran radio dan ceramah agama sebagai bentuk program pengisian yang dijalankan di sana buat masa ini.

“Oleh itu, Muslim Care Malaysia mengambil inisiatif mengumpulkan bahan bacaan untuk diedarkan ke penjara-penjara, agar para banduan dapat menggunakan masa terluang mereka dengan membaca di samping menambahkan ilmu pengetahuan buat mereka.

“Sekiranya terdapat bahan bacaan baru mahupun terpakai seperti majalah, novel, al-Quran yang mengandungi terjemahan dan buku agama, bolehlah dihantar atau diposkan ke alamat Muslim Care Malaysia (MCM CENTRE) No 11, Jalan Binjai 1A, Sungai Tua Tanah Gantian, 68100, Batu Caves, Selangor,” katanya.

Menurutnya, bahan bacaan itu boleh dihantar pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 4 petang. “Kempen ini dibuka dalam tempoh dua minggu mulai 6 hingga 17 September ini.

“Moga ia menjadi sedekah jariah yang akan menyelamatkan kita semua di akhirat kelak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here