JUMLAH kumulatif pemberian dos vaksin Covid-19 setakat semalam dilaporkan sebanyak 36,745,313 dos termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.
Berdasarkan data dan infografik dikongsi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba di Twitternya, jumlah vaksin yang diberikan semalam adalah sebanyak 313,751 dos.
Daripada jumlah pemberian vaksin harian itu, 132,640 dos adalah membabitkan dos pertama, manakala 181,111 dos lagi adalah lengkap dua dos.
Secara keseluruhan 20,677,827 daripada penduduk Malaysia sudah sekurang-kurangnya mendapat satu dos dan 16,107,712 individu lengkap dua dos vaksinasi setakat semalam.
Peratusan populasi keseluruhan yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah 63.3 peratus, manakala lengkap vaksinasi adalah 49.3 peratus.
Bagi peratusan populasi dewasa pula, 88.3 peratus sudah mendapat satu dos dan sebanyak 68.8 peratus lengkap vaksinasi.
Lembah Klang dan Labuan merekodkan jumlah peratusan populasi dewasa yang lengkap vaksinasi melebihi 90 peratus iaitu Lembah Klang 97.1 peratus, manakala Labuan 95.4 peratus. Sementara itu, Sarawak merekodkan 87.7 peratus populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi, diikuti Negeri Sembilan dengan 83.4 peratus.
Perlis turut mencatatkan peratusan tinggi populasi dewasa yang sudah lengkap dua dos vaksin iaitu sebanyak 71.6 peratus, manakala Sabah merekodkan peratusan terendah populasi dewasa lengkap vaksinasi setakat ini iaitu 45.2 peratus. – Malaysiapost

