SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang di rumahnya di Lorong Jaya Taman Kinta Baru, Gopeng, sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata kehilangan Muhammad Fayyadh dilaporkan oleh bapanya Abdul Wahid Shah.
“Selepas dimaklumkan, tindakan mencari mangsa dijalankan oleh pihak polis dengan dibantu bomba di sekitar tempat kejadian tetapi tiada petunjuk dan gagal menemui mangsa.
“Hasil temu bual ibu mangsa, Nur Shamimi Abdul Malek menyatakan pada 6.30 petang dia menyedari anaknya itu tiada di ruang tamu rumah sebelum terus mencari di taman hadapan terletak kira-kira 50 meter dari rumah, namun gagal dijumpai,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, ibu mangsa kemudian meminta bantuan daripada jirannya untuk mencari pula di sekitar Taman Kinta Baru selama kira-kira 10 minit, tetapi tetap gagal menemui mangsa.
Beliau berkata, ibu mangsa kemudiannya menghubungi suaminya untuk memaklumkan berhubung tentang kehilangan anak mereka.
“Bapa mangsa kemudian tiba di rumah dan mereka memaklumkan kepada jiran tetangga berkaitan kehilangan anak mereka melalui aplikasi WhatsApp,” katanya.
Hasron Nazri berkata, siasatan awal mendapati pintu depan rumah dan pintu pagar terbuka tidak berkunci semasa kejadian.
“Mangsa yang juga anak kedua daripada lima beradik adalah seorang OKU (autisme) iaitu mengalami masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap,” katanya. – Malaysiapost

