KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) diketuainya Menterinya, Khairy Jamaluddin hari ini mengadakan lawatan ke Pulau Larapan di Semporna, bagi meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di pulau terletak di pantai timur Sabah itu.
Menurut Khairy, ramai penduduk pulau berkenaan tidak mempunyai dokumen yang sah dan mereka diberikan suntikan dos tunggal Cansino.
“Lawatan ke Pulau Larapan pagi ini di daerah Semporna. PPV sementara di SK Pulau Larapan. 1,000 vaksin dos tunggal Cansino dibawa untuk Outreach Vaksinasi di bawah Program Imuninasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Ramai Ramai yang tiada dokumen pengenalan rasmi tapi Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) terus cucuk. No one is safe until everyone is,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi hantaran di Facebooknya berkata secara kasar dianggarkan terdapat 1,300 penduduk di Pulau Larapan.
Katanya, program pemberian vaksin Covid-19 secara jangkau luar itu memberikan fokus kepada golongan terpinggir di kawasan pedalaman dan pulau-pulau yang masih belum menerima vaksin Covid-19.
“Sebanyak 1,000 dos vaksin CanSino (vaksin dos tunggal) dibawa untuk program outreach pada hari ini. Secara keseluruhan, Sabah telah menerima 180,000 dos vaksin CanSino.
“Adalah diharapkan fokus khusus yang diberikan kepada negeri ini akan dapat membantu dalam memastikan sebanyak mungkin penduduk Sabah diberi vaksin Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

