Mudahnya nak buat hati mak gembira – Dr Redza

0
2

PADA setiap makanan disediakan ibu atau isteri ada suka, duka, air mata, kepenatan melampau, kesakitan, gembira, tawa, cinta, dan pengorbanan yang sering tidak dilihat serta diberi penghargaan sewajarnya.

Pegawai Perubatan Pediatrik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, Dr Redza Zainol berkata berdasarkan pengamatannya kebanyakan kanak-kanak zaman ini tidak diajar untuk berterima kasih kepada golongan ibu.

Beliau yang gemar berkongsi mengenai ilmu kesihatan kanak-kanak dan kekeluargaan, menyedari perkara itu sejak enam tahun lalu.

“Setiap kali jumpa budak lelaki atau perempuan di klinik, saya suka bertanyakan tiga soalan iaitu makan apa pagi tadi, siapa yang masak dan sudah ucap terima kasih pada mak?

“Boleh kata hampir semua budak akan jawab mak yang masak. Untuk soalan yang ketiga, cuma ada seorang budak mengaku dia cakap terima kasih. Yang lain cuma geleng kepala sambil tersengih-sengih.

“Selalunya, saya akan terus minta mereka cakap terima kasih pada mak masing-masing. Tersenyum lebar mak bila anak cakap terima kasih. Mudahnya nak buat hati mak gembira,” kongsinya di laman Twitter.

Beliau mengakui, sebelum ini turut melihat penyediaan makanan seperti sarapan oleh golongan ibu atau isteri adalah perkara biasa, namun berubah pandangan apabila menyedari pengorbanan serta apa yang dilalui golongan berkenaan.

“Apabila isteri saya tak sihat beberapa tahun lalu, sayalah yang banyak ambil alih kerja di rumah dan dapur. Baru saya tahu, apa yang anak-anak saya akan makan minggu ni, rupa-rupanya isteri dah rancang sejak minggu lepas.

“Kemudian barulah pergi beli barang-barang untuk memasak. Kadang-kadang, pergi dua tiga kedai barulah lengkap bahannya. Setiap hari, kena bangun awal. Sebab bila anak dah bangun, memang macam-macam ragam anak ni,” katanya.

Menurutnya, ragam anak-anak membuatkan rasa tertekan kerana perlu fokus pada banyak benda dalam satu masa dan selepas mengalaminya sendiri, beliau tidak lagi memandang sarapan disediakan isteri hanya sarapan semata-mata.

“Pada setiap sarapan yang mak atau isteri kita sediakan ni ada suka, duka, air mata, kepenatan melampau, kesakitan, gembira, tawa, cinta, dan pengorbanan yang saya tak pernah nampak.

“Sebab tu setiap kali isteri saya sediakan sarapan, saya wajibkan diri saya dan anak-anak cakap terima kasih pada dia.
Saya nak mereka faham mak mereka bukan bibik yang boleh disuruh-suruh.

“Saya nak anak saya faham betapa susahnya menjadi seorang mak. Saya nak mereka bersyukur ada mak yang menjaga makan minum mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here