Kedutaan sahkan semua rakyat Malaysia di Guinea selamat

0
4

RAKYAT Malaysia di Guinea dilaporkan selamat susulan ketidakstabilan politik di negara itu akibat rampasan kuasa tentera Ahad lalu.

Kedutaan Malaysia di Conakry, Guinea, memaklumkan buat masa ini terdapat 12 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, termasuk pegawai kedutaan dan anggota keluarga mereka.

“Sebelas daripada 12 rakyat Malaysia yang berdaftar kini berada di Guinea, sementara seorang telah pulang untuk bercuti di Malaysia dua minggu lalu.

“Semua dilaporkan selamat,” katanya seperti dilaporkan AstroAwani yang memetik Bernama.

Pemimpin sebuah unit tentera yang menggulingkan dan menahan Presiden Alpha Conde, Kolonel Mamady Doumbouya, dilaporkan berkata isu “kemiskinan dan endemik rasuah” menjadi antara punca pasukannya bertindak menyingkirkan Conde.

Menerusi televisyen negara, unit tentera itu mengumumkan bahawa mereka telah membubarkan kerajaan dan parlimen, manakala unit yang lain belum memberikan komen secara terbuka.

Mengulas mengenai keadaan semasa di Guinea, kedutaan memaklumkan keadaan masih tenang dan terkawal.

“Pasukan peralihan dikenali National Rally and Development Committee (CNRD) kini sedang mengadakan mesyuarat dengan menteri kerajaan, dan beberapa ahli politik.

“Setakat ini, tidak ada protes dilaporkan berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai akses terhadap keperluan asas di Guinea, menurut kedutaan semua rakyat Malaysia mempunyai keperluan asas mencukupi di kediaman masing-masing.

Menurut kenyataan itu lagi pasar raya, bank dan pasar terpaksa menutup perniagaan mereka pada Ahad dan mungkin sehingga Isnin.

Bagaimanapun, kebanyakan peniaga jalanan dan kedai runcit di kawasan sekitar beroperasi seperti biasa.

Buat masa ini, perjalanan rentas sempadan keluar masuk dari Guinea melalui udara telah disambung semula manakala untuk sempadan darat masih ditutup.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti sebarang perkembangan terkini di akaun Twitter dan Facebook Kedutaan Guinea, bekas jajahan Perancis, mencapai kemerdekaannya pada 1958.

Ia mempunyai penduduk sekitar 13.5 juta orang serta kaya dengan sumber mineral tetapi masih menjadi satu daripada negara termiskin dunia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here