USUL undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak disenaraikan dalam aturan urusan mesyuarat sidang Parlimen pada 14 September ini.
Perkembangan itu dikongsi Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR, Fahmi Fadzil yang memuat naik salinan aturan mesyuarat itu di laman Facebooknya hari ini.

Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 dimulakan dengan Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan pada hari pertama iaitu 13 September, serta menyampaikan Titah Diraja.

Ia berdasarkan notis menunda tarikh persidangan daripada 6 September ke 13 September dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin kepada semua Ahli Parlimen, hujung bulan lalu.

Berdasarkan urusan aturan mesyuarat yang dikongsi Fahmi, soalan pertama pada 14 September bagi sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan menteri dikemukakan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif.
Ia disusuli soalan oleh Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Usul-usul lain yang terkandung dalam urusan mesyuarat pada hari kedua ialah memilih Timbalan Speaker, Perintah Dewan kepada Ketua Polis Negara untuk tidak menghalang Ahli Dewan Rakyat ke Parlimen serta usul menjunjung kasih Titah Diraja.
Pada masa sama, usul undi percaya kepada Perdana Menteri tiada dalam senarai pada tarikh berkenaan.
Pada 4 September lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan berkata tiada keperluan mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri dan kerajaan yang dibentuk menurut lunas undang-undang.
Beliau berkata pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, proses pemilihan dijalankan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan menunjukkan pelantikan Ismail Sabri sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa amat terkejut dan menyifatkan kenyataan Idrus bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti semasa sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.
Menurut PH, menerusi kenyataan media Istana Negara 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”. – Malaysiapost

