Pemandu lori rempuh lima kenderaan positif dadah

0
2

PEMANDU lori yang merempuh lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh di Sentul, Kuala Lumpur petang tadi didapati positif dadah.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, lelaki berusia 25 tahun yang memandu lori terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV serta Peugeot 208 FL di persimpangan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dikatakan gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, nahas itu mengakibatkan pemandu sebuah daripada Perodua Myvi berkenaan yang berusia 45 tahun mengalami cedera ringan di muka dan mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Pemandu empat kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka sudah mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang.

“Pemandu lori berkenaan juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian awal alkohol dilakukan mendapati pemandu tidak dalam pengaruh alkohol.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan awal air kencing yang didapati positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung kejadian berkenaan.

“Mereka boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here