Salah faham punca kesesakan di Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam

0
2

ORANG ramai bersesak-sesak tanpa penjarakan fizikal di Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam, Georgetown di Pulau Pinang semalam, berpunca daripada salah faham warga asing berkenaan suntikan vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’.

Difahamkan, kejadian yang berlaku jam 7.10 pagi itu tercetus apabila kumpulan warga asing berkenaan mendapat khabar angin bahawa terdapat pemberian suntikan vaksin Covid-19 tanpa perlu melalui proses janji temu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pulau Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, semakan daripada pihaknya, mendapati maklumat berkaitan suntikan vaksin secara walk-in itu adalah tidak tepat.

“Apa yang berlaku sebenarnya adalah pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Timur Laut telah membuka kaunter bagi pendaftaran suntikan vaksin kepada 150 orang terawal.

“Mereka yang telah mendaftar akan diberikan janji temu suntikan vaksin dijangka pada 14 dan 15 September ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, jelas Soffian, anggotanya telah mengesan insiden terbabit pada jam 8.30 pagi hari yang sama dan mendapati terdapat petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah mengawal keadaan.

Katanya, jumlah kehadiran dianggarkan seramai 150 hingga 200 orang yang terdiri dari warga asing.

“Namun setelah dijelaskan bahawa program berkenaan bukanlah program suntikan vaksin secara walk-in tetapi hanyalah pendaftaran suntikan vaksin yang mana jumlah terhad kepada 150 orang sahaja barulah mereka beransur-ansur meninggalkan lokasi berkenaan.

“Pihak PDRM dengan kerjasama APM dan petugas KKM berjaya mengawal keadaan sehingga selesai proses pendaftaran suntikan vaksin tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai dinasihati agar tidak menyebarkan sebarang berita atau khabar angin yang tidak pasti sehingga akhirnya menimbulkan satu suasana yang tidak terkawal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here