Parti lain sibuk bantu rakyat, PH mahu jatuhkan MB sendiri?

0
3

KETIKA parti lain sibuk menyalurkan bantuan, memberi vaksinasi dan berusaha memulihkan negara daripada pandemik, Pakatan Harapan (PH) pula bermesyuarat menjatuhkan Menteri Besar daripada parti sendiri.

Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan susulan isu kepimpinan PKR Negeri Sembilan yang dilaporkan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

“Terkini, kepimpinan Keadilan Negeri Sembilan hilang kepercayaan terhadap Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar. Antara sebab yang dikemukakan adalah MB Negeri Sembilan tidak memainkan peranan dalam usaha memperkukuh jentera parti bagi menghadapi pilihan raya dan ini boleh menyebabkan kekalahan PH di negeri itu.

“Parti lain sibuk menyalurkan bantuan, memberi vaksinasi, berusaha untuk membawa Malaysia keluar dari situasi terkini.

“PH? Bermesyuarat menolak keputusan yang diri sendiri buat, dan bermesyuarat jatuhkan MB parti sendiri,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, Shahril juga mengucapkan ‘syabas’ atas keprihatinan PH Selangor terutama pengerusinya yang telah bermesyuarat setelah beberapa hari membisu ekoran terbongkarnya penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada Mei lalu.

Mengulas mengenainya, menurut Shahril dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut, Pengerusi PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Datuk Seri Amirudin Shari berjanji membawa isu berkenaan kepada barisan Exco kerajaan negeri.

“Kerajaan PH Selangor sendiri yang nyahwarta hutan; semua parti ada wakil dalam Exco Kerajaan negeri dan mustahil tak tahu keputusan nyahwarta pada Mei.

“Setelah kecoh, mereka sendiri acah bantah keputusan yang dibuat. Tiada mohon maaf, tiada mengaku terkhilaf,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here