PASUKAN vaksinasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memulakan program pemberian vaksin di pedalaman Sabah bagi menjayakan usaha memerangi Covid-19.
Perkembangan itu dikongsi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memaklumkan program itu dilaksanakan pasukan dari Briged Ke-13 Infantri.
Katanya, sumbangan kepakaran dan logistik oleh pasukan tersebut sangat penting demi lancarkan pemberian vaksin di kawasan pedalaman Sabah.
“Selari dengan pengumuman saya baru-baru ini, tim vaksinasi ATM akan terus ditingkatkan untuk bantu Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Baru-baru ini, Hishammuddin dilaporkan berkata ATM bersedia membantu menyediakan pasukan vaksinasi di negeri-negeri yang memerlukan khususnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai KKM.
Negeri-negeri yang berdepan peningkatan kes penularan Covid-19 ialah Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.
Hishammuddin berkata bantuan ATM termasuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam. – Malaysiapost

