
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih mendapat kepercayaan dan menerima sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) untuk terus menerajui negeri.
Perkara itu disahkan Yang diPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar yang memaklumkan tidak menerima sebarang surat penarikan sokongan daripada Adun PH terhadap Menteri Besar.
Menurut Adun Chennah, Loke Siew Fook, beliau sendiri telah bertanya kepada Zulkefly pada sidang DUN hari ini.
“Jawapan itu memberikan satu mesej yang kuat dan jelas kepada seluruh rakyat, bahawa kedudukan YB Sikamat (Aminuddin) jelas. Beliau masih ada majoriti dan sokongan dalam dewan yang mulia ini, untuk terus menerajui kerajaan Negeri Sembilan.
“Selagi YB Sikamat mempunyai sokongan majoriti dalam dewan, kedudukan beliau sebagai Menteri Besar tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Saya mengajak seluruh Adun kerajaan untuk sama-sama memberi kerjasama sepenuhnya kepada YB Sikamat untuk terus menerajui kerajaan Negeri Sembilan sehingga akhir tempoh,” kata Siew Fook dipetik portal Negeri Kita, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan tersebar kenyataan media di laman sosial berkaitan segelintir pemimpin PKR negeri yang didakwa hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Ketua Penerangan PKR negeri, Yusuf Tapar dilaporkan berkata, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) perlu membuat rombakan.
Beliau mendakwa Aminuddin selaku Pengerusi MPN negeri tidak melakukan penyusunan dan koordinasi berkesan untuk menarik sokongan pengundi terutama di kawasan DUN yang perlu diberi tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. – Malaysiapost
